Saturday 5 May 2012

Isu kemalangan jalan raya .

Sedasarwasa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang isu kemalangan jalan raya. Kita dapat menyaksikan betapa kian meningkatnya kemalangan jalan raya di negara ini. Saban hari, media massa sering menguar-uarkan melalui media cetak dan media elektronik mengenai isu kemalangan jalan raya. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan kemalangan ini berpunca daripada kecuaian para pemandu.
Antara punca kemalangan jalan raya ialah daripada kecuaian pemandu itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Kebiasaanya, keadaan ini berlaku ketika waktu tengahari dan waktu malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk mungkin akan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya, mengakibatkan kenderaan mereka terbabas atau melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Diharapkan pemandu yang mengantuk agar berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. 


Kita sering membaca di dada-dada akhbar, betapa bahayanya memandu kenderaan yang kurang sempurna sifatnya. Terdapat sebilangan pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Contohnya, mereka tidak menggantikan tayar yang haus. Apabila tayar kenderaan kita sudah haus, sudah semestinya daya cengkaman tayar dengan jalan raya akan berkurangan. Hal ini, lebih membahayakan ketika hari hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya berkurangan berkemungkinan menyebabkan daya kawalan kenderaan sukar dikawal. Jelaslah di sini, tayar kenderaan yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Dengan ini, diharapkan kepada para pemandu untuk memeriksa terlebih dahulu keadaan kenderaan anda sebelum digunakan.


Bertitik tolak daripada itu, kemalangan juga boleh berlaku apabila adda pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan akan berkurangan ketika mabuk. Hal ini, kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri atau ke kanan sehingga menyebabkan berlaku kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu mengakibatkan kemalangan kepada pihak lain. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, janganlah memandu dalam keadaan mabuk. Bagi umat Islam adalah haram meminum arak. Bukan sahaja memberi impak negatif kepada individu malahan kepada pihak lain.


Tiada sakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi. Kita seharusnya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengadakan pelbagai kempen dan undang-undang untuk mencegah kemalangan jalan raya. Usaha yang gigih pasti akan membuahkan hasil yang berkualiti, kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara ini. Moga bilangan kemalangan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.


Diambil daripada :
http://maribelajar.forumotion.com/t1054-karangan-fakta-isu-kemalangan-jalan-raya
Disediakan oleh :
Anis Shahrir .

No comments:

Post a Comment