Thursday 10 May 2012

Kekeluargaan Dalam Kehidupan Masyarakat Dalam Era Globalisasi ini

Dewasa ini, hubungan kekeluargaan terutama di kawasan bandar tidak erat berbanding keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak rapat dengan anak-anak mereka kerana jarang meluangkan masa bersama mereka. Kehidupan yang serba moden turut merenggangkan lagi hubungan kekeluargaan. Oleh itu,amat penting bagi masyarakat kita didedahkan dengan manfaat-manfaat mewujudkan perasaan kekeluargaan.
Kita dapat memastikan gejala sosial tidak mempengaruhi masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja apabila eratnya ikatan kekeluargaan dalam hidup mereka. Remaja yang kurang perasaan kekeluargaan dan kasih sayang akan mudah terjebak dengan budaya kuning seperti merokok dan melepak di pusat beli-belah kerana mereka tidak mempunyai panduan hidup yang jelas. Lantaran itu,mereka memberontak dengan melakukan perkara yang tidak sihat untuk mendapat perhatian orang ramai. Selaras dengan itu,ibu bapa perlu memupuk perasaan kekeluargaan terhadap anak-anak mereka sejak kecil lagi.
Selain itu, kadar jenayah di negara kita dapat dikurangkan dengan drastik. Kebanyakan kajian membuktikan pencetus utama penjenayah melakukan kesalahan undang-undang seperti membunuh dan merogol adalah disebabkan masalah kekeluargaan. Mereka hilang pertimbangan sehingga melakukan jenayah kerana tertekan dan cuba mencari jalan penyelasaian bagi masalah mereka. Ketiadaan keluarga untuk menjadi tempat mereka meluahkan masalah menjurus isu ini berlaku. Sehubungan dengan itu, pelbagai program bercorak kekeluargaan seperti Hari Bersama Keluarga perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Secara tidak langsung, negara kita akan sentiasa dalam keadaan aman dan damai apabila masalah gejala sosial dan kadar jenayah berkurangan. Negara yang harmoni dan tiada masalah dalaman mahupun luaran mampu melahirkan masyarakat yang tinggi nilai kekeluargaan. Hal ini demikian kerana,mereka bebas melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga tanpa memikirkan masalah-masalah yang menimpa negara mereka. Oleh sebab itu,semua pihak perlu bekerjasama menjaga keamanan negara.
Prokditiviti rakyat turut bertambah kerana mereka berasa gembira melihat keluarga yang bahagia dan keadaan negara aman yang makmur.Rakyat negara yang harmoni pasti berwawasan dan mempunyai modal insan yang tinggi. Malahan, mereka dapat menjaga kebajikan keluarga seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga,bangsa dan negara mereka. Pertumbuhan ekonomi negara turut berkembang dengan pesat. Oleh itu, nilai positif ini perlu diwujudkan supaya kebahagiaan sesebuah keluarga dapat dikekalkan.
Malah, imej negara pada mata masyarakat dunia terus bersinar. Keluarga yang bahagia menghasilkan semua impak yang positif. Masyarakat luar akan melihat kejayaan ini dan cuba menyebarkan kejayaan itu di negara mereka. Tindakan ini akan menyebabkan semua masyarakat luar akan mengenali rahsia kejayaan Malaysia ialah kekuatan sistem keluarga mereka. Maka, rakyat negara ini boleh berbangga kerana mereka dipandang tinggi oleh masyarakat asing.
Kesimpulannya,terdapat banyak faedah yang kita mampu peroleh apabila mempraktikkan nilai kekeluargaan dalam kehidupan seharian. Situasi ini dapat memastikan kehidupan yang kita jalani pada masa hadapan lebih berkualiti dan bermakna kerana kita mempunyai keluarga yang menjadi penyebab seseorang itu meneruskan kehidupannya.Justeru,masyarakat tidak boleh bersikap acuh tak acuh dengan nilai-nilai murni ini agar mereka dapat melahirkan sebuah keluarga yang sempurna.

Oleh : Nurul Nazuha Bt Mahmud

No comments:

Post a Comment