Saturday, 14 April 2012

Gejala Merempit

Masalah rempit semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Ramai remaja telah terlibat dalam kegiatan yang tidak membawa faedah ini. 
Huraikan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini. 


Marcapada, masalah ‘mat rempit’ semakin menjadi-jadi di negara ini. Bilangan remaja yang melibatkan diri dalam kegiatan ‘merempit’ ini meningkat saban tahun. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia,kegiatan haram ini telah meningkat sebanyak lima belas peratus pada tahun 2010. Justeru, langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.

Antara langkah untuk mengatasi masalah merempit adalah menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas.Hal ini demikian kerana undang-undang yang ada pada masa ini masih agak kurang berkesan untuk menghalang perbuatan ini. Oleh itu, ia dapat menakutkan golongan remaja daripada terjebak ke dalam gejala yang tidak berfaedah ini. Tamsilnya, hukuman sebatan mampu menakutkan mereka untuk menyertai perlumbaan haram. Sesungguhnya hukuman yang lebih berat amat penting untuk mengatasi masalah ini.

Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting untuk mengatasi masalah ini. Hal ini demikian kerana ibu bapa mempunyai kuasa untuk mengawal pergerakan anak-anak mereka. Oleh itu, mereka tidak akan mudah untuk bergaul dengan rakan-rakan yang merempit. Sebagai contoh, ibu bapa perlu sentiasa memastikan yang anak-anak mereka berada di tempat-tempat yang sepatutnya mengikut masa yang ditentukan. Sememangnya perhatian dan kerjasama daripada ibu bapa amat diperlukan bagi menangani gejala yang tidak sihat ini.

Di samping itu, para remaja juga perlulah mengawal diri masing-masing. Hal ini demikian kerana kawalan diri amat penting untuk mengelakkan diri dari terjebak dalam situasi ini. Pengawalan diri dapat memberi kesan yang mendalam terhadap penentangan gejala ‘merempit’. Sebagai contoh, seseorang yang mengawal diri mereka dari terjebak dalam gejala merempit dapat menjalani kehidupan yang normal dan selamat. Kawalan dan jati diri yang tinggi amat penting untuk mengatasi masalah rempit ini.

Tuntasnya, semua pihak haruslah berganding bahu bagi mengatasi masalah ini persis kata mutiara, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Pihak kerajaan juga harus mengharamkan sebarang pengubahsuaian ke atas kenderaan bermotor untuk mengatasi masalah ini. Sekiranya pihak kerajaan bersetuju untuk melaksanakan langkah ini, sudah tentu masalah rempit akan dapat diatasi. Ternyata bahawa semua pihak harus bertanggungjawab bagi memenangi peperangan saraf antara remaja yang tidak bersalah dan mat rempit.



Oleh : Nurul Nazuha Bt Mahmud
Sumber :http://azam09.blogspot.com/2011/06/gejala-rempit.html

No comments:

Post a Comment