Saturday, 17 March 2012

KARANGAN PERBINCANGAN

SOALAN: Sahabat merupakan sebahagian daripada hidup kita. Secara tidak langsung sahabat       telah mempengaruhi hidup kita. Jelaskan faktor-faktor seseorang sahabat mampu mengubah hidup kita.




Sebagai manusia kita tidak mampu hidup berseorangan. Walaupun kita tidak mempunyai harta bertimbun, namun kita pasti akan berasa kesunyian kerana tidak mempunyai sesiapa di sisi untuk menemani. Selain ibu, bapa, abang, kakak, adik-adik, dan ahli keluarga yang lain, kita tidak boleh mengetepikan peranan seorang sahabat yang secara tidak langsung boleh mengubah kehidupan kita.

Menurut pakar sosiologi, seseorang sahabat mampu mengubah kehidupan kita melalui faktor persekitaran. Persekitaran yang sihat mampu mencorakkan peribadi seseorang. Sebagai contoh, kita berkawan dengan rakan-rakan yang pandai bermain bola sepak. Tidak mustahil kita juga yang pada awalnya tidak suka bermain bola sepak tetapi akhirnya akan terikut-ikut untuk bermain bola sepak. Kita mesti berhati-hati ketika memilih kawan. Hal ini kerana kita tidak mengetahui sama ada rakan tersebut mampu membimbing kita ke jalan yang benar ataupun ke lorong kegelapan.

Faktor kedua pula disebabkan perkongsian minat. Mempunyai minat atau kegemaran yang sama juga mampu mengubah kehidupan seseorang. Hal ini kerana perasaan minat itu menimbulkan keinginan untuk berkongsi sesuatu bersama-sama. Namun pada masa yang sama, perkongsian minat juga boleh memandu kita ke jalan yang salah. Sebagai contoh, jika seseorang perokok berkawan dengan perokok yang lain maka adalah mustahil untuknya berhenti merokok walaupun mempunyai niat ke arah itu.

Faktor yang terakhir ialah komunikasi. Komunikasi yang baik dan mantap mampu mengukuhkan sesebuah ikatan. Walaupun kita masih mempunyai anggota keluarga, kalangkala kita akan lebih senang berkongsi cerita dan rahsia dengan sahabat sekeliling. Sahabat menjadi tempat kita luahkan segala masalah. Pada masa inilah kita boleh menilai dan melihat bukti seorang sahabat itu benar-benar ikhlas berkawan dengan kita. Penilaian tersebut boleh juga dilihat menerusi nasihat yang diberikan oleh rakan. Nasihat yang elok akan membantu kita manakala nasihat yang negatif akan merosakkan kehidupan kita.

Oleh hal yang demikian, apa-apa juga faktornya, yang penting kita perlu mengetahui cara-cara untuk mencari dan mengenal pasti rakan sebaya yang baik. Teliti terlebih dahulu sifat peribadinya kerana jika kita tersilap langkah, yang merana ialah diri kita sendiri. 

No comments:

Post a Comment