Saturday, 17 March 2012

CARA-CARA MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR


Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?
            Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibubapa era globalisasi ini. Ibubapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.
            Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tida senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.
            Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.
            Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekollah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.
            Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.
            Kemelut ini mudah dibendung jika ibubapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibubapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibubapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.
            Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.


NUKILAN :Nur reezwana julia bt roslan

Gejala Ponteng Dan Lepak

Sejak akhir-akhir ini, gejala ponteng dan lepak semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar dan membimbangkan masyarakat. Pelajar merupakan modal insan dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Jadi isu ini haruslah diberi perhatian dan langkah-langkah sewajarnya hendaklah dilaksanakan dengan segera sebelum menjadi lebih parah dan tidak dapat diselamatkan lagi ibarat “nasi sudah menjadi bubur.”

Terdapat pelbagai punca gejala tidak sihat ini berlaku dan salah satunya pelajar kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa. Kesibukan ibu bapa di tempat kerja untuk mengumpul wang demi masa depan anak mereka “memakan diri ‘ sendiri dan hanya tinggal impian semata-mata. Mereka tidak mempedulikan diri anak-anak mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang insan yang menjaga mereka semenjak kecil. Akhirnya apabila pelajar berasa bosan dengan kehidupan keluarga, mereka akan mula mencari rakan-rakan yang tidak berakhlak mulia yang suka ponteng dan lepak. Kadang-kala sikap ibu bapa yang suka menyalahkan anak mereka membuatkan jiwa pelajar memberontak dan bertukar menjadi seorang yang suka ponteng dan lepak. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin hendaklah menasihati dan menjaga perasaan pelajar dengan sebaiknya.

Pengaruh rakan adalah punca utama kepada gejala ponteng dan lepak. Pelajar tidak pandai untuk memilih rakan yang baik dan buruk. Apabila tersalah pilih rakan, agak susah untuk pelajar kembali kepada sikap asal kerana sikap buruk rakan akan secara perlahan-lahan meresap dalam jiwa pelajar dan menjadi sebahagian daripada diri pelajar.Pelajar haruslah tahu membezakan rakan yang membawa kepada jalan yang benar atau salah. Apabila berkawan dengan pelajar yang suka ponteng dan lepak, seseorang pelajar itu pada mulanya hanya mahu mencuba tetapi lama kelamaan akan menjadi tabiat dan tidak takut untuk melakukannya.

Sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala ponteng dan lepak. Ada juga sekolah yang tidak mempedulikan gejala yang semakin berleluasa ini walaupun telah diberi amaran oleh pihak kementerian agar segera membendung gejala ini daripada terus merebak dalam kalangan pelajar-pelajar yang lain. Apabila nama sekolah tercemar barulah mereka sedar betapa pentingnya menangani gejala ponteng dan lepak ini.Walaupun begitu , terdapat juga segelintir dalam kalangan ibu bapa yang “menyerang” pihak sekolah kerana telah bertindak tegas dengan mengenakan hukuman terhadap anak mereka yang didapati bersalah dan mereka “seperti ular dikutik ekor” disebabkan ketegasan pihak sekolah menghukum terhadap anak mereka.

Selain itu, sikap masyarakat juga menjadi salah satu punca kegiatan pontenga dan lepak semakin berleluasa. Masyarakat bertindak “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” kerana enggan “menjaga tepi kain orang”. Masyarakat tidak melaporkan kepada pihak sekolah dan pihak berkuasa apabila melihat pelajar-pelajar ponteng dan lepak Mereka sepatutnya menjadi “mata” dan “telinga” kepada pihak sekolah dengan terus melaporkan sebarang aktiviti pelajar yang mencurigakan.Keprihatinan dan kerjasama mereka amatlah penting bagi menangani gejala ini dengan membantu pihak berkuasa memusnahkan tempat-tempat yang menjadi “sarang” untuk pelajar-pelajar melepak dan ponteng.Sesetengah masyarakat enggan bekerjasama dan lebih suka mendiamkan diri kerana tidak mahu menyusahkan diri sendiri untuk membantu menangani gejala tersebut. Sebagai masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, mereka perlulah bersama mencegah gejala tersebut demi kebaikan dan kepentingan pelajar kerana”bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini ialah dengan mengadakan ceramah-ceramah kesedaran dan motivasi kepada semua pelajar di sekolah , antaranya sempena Minggu Disiplin dan Minggu Penghayatan Islam. Penceramah tersebut mestilah orang yang berpengalaman dan dapat menarik minat pelajar secara berkesan seperti penceramah daripada pihak berkuasa iaitu polis.Melalui ceramah kesedaran tersebut, diharap para pelajar menyedari akan keburukan ponteng dan lepak yang boleh mengundang kepada gejala sosial yang lain.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk membimbing anak-anak kejalan yang betul .Mereka hendaklah sentiasa menghadirkan diri ke sekolah untuk bersama-sama berbincang akan sebarang masalah yang timbul berhubung anak-anak mereka. Ibu bapa juga perlu sentiasa memantau dan mengambil tahu akan perkembangan anak-anak mereka baik dalam aspek pendidikan mahupun pergaulan seharian anak-anak. Hal ini pasti akan menghindarkan anak-anak mereka daripada terjebak dalam gejala ponteng dan lepak.

Intihanya, semua pihak perlu bekerjasama dan saling membantu dalam usaha untuk membanteras gejala ini daripada terus menular dalam kalangan pelajar. Setiap pelajar harus bijak membezakan yang mana kawan ataupun lawan agar mereka tidak terpengaruh dengan gejala yang buruk ini. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” , itulah peribahasa yang perlu diamalkan oleh semua pihak dalam menangani gejala negatif daripada terus menjadi “duri dalam daging” yang akan merosakkan generasi akan datang yang bakal menjadi pemimpin negara nanti.

NUKILAN : Nur reezwana julia bt roslan

No comments:

Post a Comment